Sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat beli-belah di Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah disamun empat lelaki bertopeng yang dipercayai bersenjatakan tukul dan senjata tajam, sebelum suspek memecahkan tiga cermin pameran dan melarikan pelbagai barangan kemas dengan anggaran kerugian antara RM700,000 hingga RM1 juta. 🚨 Difahamkan, empat suspek terbabit dipercayai membahagikan tugas apabila dua daripada mereka masuk ke dalam kedai emas untuk mengambil barangan kemas, manakala dua lagi menunggu kira-kira 20 meter dari premis dengan menaiki dua motosikal. 😨 Ketika kejadian, terdapat dua pekerja di dalam kedai berkenaan, namun mujurlah kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan. Orang awam turut cuba membantu selepas kejadian dan beberapa barangan kemas yang dipercayai tercicir atau ditinggalkan suspek berjaya ditemukan sebelum diserahkan kepada pihak polis. 🚔 Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan kerana pihak polis masih menunggu senarai lengkap barangan kemas yang hilang daripada pihak premis. Polis turut menyiasat nombor pendaftaran kedua-dua motosikal yang digunakan suspek dan meminta saksi tampil memberikan maklumat termasuk ciri fizikal, bentuk badan, cara percakapan atau sebarang perkara mencurigakan yang dilihat sebelum kejadian. ⚠️ Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membahayakan diri dengan cuba menangkap atau melawan penjenayah, terutama jika suspek dipercayai memiliki senjata. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. Difahamkan, kedai emas yang sama pernah menjadi sasaran samun pada 2024 dengan kerugian ketika itu dipercayai mencecah kira-kira RM1 juta. 💔
